Bisnes

Dapatkan khidmat nasihat tentang penjenamaan, pemasaran dan kerja sosial dari Matasura Services

Kehidupan

Perihal kehidupan serta tips. (Gambar di Pos Betau, Pahang)

Motivasi

Motivasikan diri anda! (Gambar di Asrama Darul Falah (ASDAF), Bukit Persekutuan Kuala Lumpur)

Makan Angin

Makan angin di dalam dan luar negeri. (Gambar di Yangon, Myanmar)

Isu Semasa

Isu semasa di Malaysia dan luar negara. (Gambar di perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis)

Booking.com
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Sunday, November 6, 2016

Membentuk Persepsi Masyarakat dan Institusi Agama



Saya berpeluang berjumpa dengan seorang ilmuan baru-baru ini di Seremban dan beliau berkongsikan jemputan yang diterimanya oleh kerajaan Pakistan  untuk membentang kertas kerja tentang cara membasmi kemiskinan dan menaikkan taraf ekonomi negara dengan lebih lestari (sustainable). 

Saya tidak mahu kongsi dengan lebih teliti isi yang dikongsikannya tetapi salah satu intipati yang membuat saya terkesan ialah cara membuat sesuatu perubahan (change management) itu memerlukan perubahan dari dalam dan bukannya dari luar.

Kata-kata ini membuatkan saya teringat kepada perbualan saya dengan rakan berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh Baitulmal dan juga JAKIM berkenaan dengan persepsi masyarakat terhadap institusi agama tersebut. Kita ambil contoh mudah, isu JAKIM baru-baru ini. Bermula dengan isu halal Pretzel, kemudian nama hotdog yang menjadi bahan jenaka netizen tidak kira latar belakang. Troll ini menjadi agak keterlaluan dan tanpa sedar memusnahkan nama baik institusi Islam sedikit demi sedikit. Tapi salah siapa? Dari pihak JAKIM mungkin beranggapan bahawa netizen tidak faham. Dari pihak netizen pula mengeluarkan hujah-hujah yang mereka rasakan betul. Dan tanpa sedar ada kuasa media yang lain seolah-olah menggunakan kesempatan ini untuk menghidupkan lagi api supaya isu ini terus berlarutan.

Apa kaitannya dengan change management dengan isu persepsi masyarakat terhadap instistusi agama ini? Sebenarnya sekian lama saya melihat institusi agama khususnya di Malaysia mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Mereka merupakan agensi kerajaan dengan keperluan yang sempurna dari segi dana, tenaga kerja dan juga infrastruktur. Kelebihan ini membuatkan institusi agama ini sepatutnya lebih gah dan maju ke hadapan dengan arus peredaran yang semakin pantas berubah.

Saya ambil dari perspektif persepsi, institusi agama perlu lebih proaktif dalam membina imej Islam di mata masyarakat Malaysia. Kita dapat lihat contoh dan usaha yang dilakukan oleh agensi Islam di luar negara yang terus menunjukkan imej Islam yang positif dan secara tidak langsung membuatkan lebih ramai ingin mengenali Islam dengan lebih dekat. Satu kajian di Universiti Cambridge mengapa orang ramai memilih Islam menyatakan salah satu sebab adalah kerana Islam itu sebuah agama yang memberi impak kepada diri sendiri dan juga keluarga. Hal ini juga menjelaskan mengapa beribu-ribu rakyat di UK dan di Amerika Syarikat memeluk Islam setiap tahun.

Salah satu kaedah yang dapat digunakan oleh institusi agama di Malaysia untuk membina imej Islam adalah melalui media sosial. Media sosial kini bertindak sebagai imej sebuah organisasi. Setiap isi kandungan (content) media sosial organisasi itu akan membentuk persepsi organisasi tersebut. Sebuah laporan bebas mengatakan 9 dari 10 syarikat yang berpengaruh sudah mempunyai pasukan sosial media yang dedikasi bagi menguruskan imej dan pemasaran organisasi mereka. Oleh itu institusi agama seperti JAKIM dan Baitulmal seharusnya meletakkan keutamaan terhadap media sosial ini sebagai salah satu platform dakwah halus supaya imej Islam dapat dibentuk sebaiknya.

Di sini saya kongsikan beberapa soalan utama yang menjadi tanda tanya setiap individu atau pihak yang terlibat dengan media sosial.

1- Bagaimanakah menggunakan media sosial dengan efektif? (Tactical)

2- Apakah cara yang terbaik untuk menguruskan komunikasi dengan respon orang ramai di media sosial? (Engagement)

3- Bagaimanakah cara untuk ukur keberkesanan perlaksanaan media sosial? (Measurement)

4- Bagaimanakah untuk mengenal pasti sasaran pelanggan di media sosial? (Audience)

5- Apakah strategi yang paling sesuai digunakan untuk media sosial? (Strategy)

Dengan memahami 5 soalan utama di atas ini dapatlah membentuk persepsi orang ramai terhadap sesebuah organisasi. Disokong pula dengan tools internet yang lain seperti search engine optimization (SEO), blog dan lain-lain. Apa yang kita ingin lihat ialah badan institusi agama ini terus perkasa, membina imej Islam dengan lebih efektif. Membuatkan orang ramai lebih cenderung untuk mengenal Islam (bagi bukan Islam) dan buatkan orang ramai engaged dengan lebih positif (bagi yang beragama Islam) di media sosial. Rasulullah SAW sendiri membina imej sebagai Al Amin sebelum Baginda menjadi seorang Rasul

Oleh yang demikian, walaupun banyak faktor luaran (external factor) yang mencemarkan nama baik Islam yang sukar untuk dibendung atau kawal, faktor dalaman (internal factor) yang boleh dikawal seharusnya diberi perhatian sepenuhnya dengan memaksimakan apa yang ada agar nama baik Islam dapat terus diungguli. Perubahan perlu dilakukan dari dalam organisasi. Perubahan perlu dilakukan sekarang, jika tidak kita akan ketinggalan. Lagi-lagi agensi yang membawa nama Islam tidak sepatutnya ketinggalan dalam dunia akhir zaman yang penuh dengan fitnah ini. Pengurusan persepsi perlu didalami kaedahnya supaya serangan secara halus untuk menjatuhkan Islam ini dapat ditangkis sedikit demi sedikit. Perubahan minda dan cara kerja agar matlamat yang jelas dapat dicapai.

Seperti firman Allah di Surah A Ra'd ayat 11:
"Sesunggunya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka"
Lakukanlah perubahan dan merancang berdasarkan matlamat yang jelas. Kita semua mahukan agar imej Islam menjadi sesuatu yang indah di Malaysia dan bukannya bahan jenaka lagi-lagi di media sosial. Usaha perlu dimulakan termasuk dari agensi kerajaan yang membawa nama Islam, juga organisasi-organisasi yang lain yang membawa imej yang sama. Jangan terlalu mengharap kepada netizen untuk bertindak. Jika sebuah organisasi Islam bertindak dengan baik, secara tidak langsung akan beri impak yang positif kepada netizen itu sendiri. Kita boleh menangkan minda dan hati (hearts and minds) netizen supaya cinta pada Islam itu mula tersemai. Persepsi boleh dibentuk, cuma kita perlu tahu caranya sahaja.

Muhammad bin Kamarulazizi
Konsultan Media Sosial
Matasura Services

Wednesday, March 9, 2016

5 Kepincangan Kempen #RespectMyPM

Kredit gambar: You've got to earn it. (Reuters/Olivia Harris)
#RespectMyPM merupakan hashtag terbaru yang diusahakan oleh pihak kerajaan Malaysia bagi memulihkan persepsi masyarakat terhadap pimpinan tertinggi negara selepas kejadian Tun Mahathir meletakkan dari UMNO dan munculnya kumpulan Deklerasi Rakyat yang diketuai Tun M sendiri bagi memberi tekanan kepada DS Najib untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Permasalahan di sini apabila team komunikasi atau propaganda Jabatan Perdana Menteri (PMO) masih tidak memahami kehendak gen y dan barangkali kurangnya analisa faktor-faktor luaran (external) yang akan menggugat kempen yang diadakan ini. Tidak sampai seminggu, warga netizens sudah mula mencemuh kempen #RespectMyPM dengan menukarnya menjadi #InspectMyPM atau #SuspectMyPM lagi-lagi apabila melibatkan isu duit derma dan sebagainya.

antara poster yang dimuatnaik di Twitter

Kepincangan think tank komunikasi Perdana Menteri ini mengakibatkan Malaysia sekali lagi menjadi bahan jenaka bukan sahaja di Malaysia, bahkan di luar negara. Laporan dari BBC, Quartz dan Yahoo News yang terus memberi respon kurang dari 24 jam menunjukkan betapa cepatnya isu ini dimainkan dan usaha damage control sudah pasti sukar dilakukan dan dibiarkan begitu sahaja seperti selalu. Dari sudut propaganda, kempen ini akan menjadi lagi satu titik hitam dalam pengurusan persepsi (perception management) bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di mata dunia.

Berikut adalah kepincangan kempen #RespectMyPM

1- You gain respect, not forced to respect. Ini satu kesilapan, jika hashtag difokuskan kepada negara dan bukan kepada perdana menteri, maka persepsi rakyat akan berbeza. Sokongan kepada perdana menteri boleh ride on kepada sokongan kepada negara.

2- Meminta atau mengajak untuk hormat perdana menteri sebagai tindakbalas kepada team Tun M. Dalam keadaan sokongan berantai cybertroopers UMNO dan dari JASA tidak cukup kuat. Troops yang dicipta di Twitter mahupun akaun Facebook seperti tidak mempunyai arah yang tetap. Terlalu terbuka dan tiada objektif yang realisitik untuk dicapai apabila suatu isu atau kempen dimainkan.

3- Jabatan Perdana Menteri perlu sedar majoriti yang  akan backfire kempen ini adalah netizen sendiri dan bukan sekadar cybertroopers dari pihak pembangkang sahaja. Natural cybertroopers (netizens) adalah yang terbaik, kerana mereka akan memberi komen dan tindakbalas yang lebih natural dan datangnya daripada hati.

4- Persediaan untuk viral. Hashtag ini berjaya diviralkan tetapi harus diingat, viral ini boleh jadi kearah yang baik atau kearah yang lebih parah. Tindakan pantas netizens memberi respon atas kelemahan penggunaan perkataan (yakni respect dan PM) telah membuatkan berita ini terus dikaut oleh agensi berita antarabangsa.

5- Cara respon kepada team Tun M. Respon 24 jam dengan menggunakan hashtag ini adalah satu cara untuk mengalih (maneuver) perhatian daripada suatu isu. Pihak JPM seharusnya merangkakan kempen (sulit) yang membuatkan rakyat mula menyebut dan sentiasa menyebut tentang kebaikan PM. Bukannya gambar retorik "mesra rakyat" semata dengan bodyguard di sekeliling PM.

Apakah penyelesaiannya? Jika dilihat dengan mata rakyat marhaen, JPM masih belum memahami kehendak rakyat terutama sekali dari umur 18 hingga 40, iaitu remaja dan belia di negara ini. Pendekatan konsep "winning hearts and minds of the people" itu penting tetapi bagaimana pula kaedah impimentasinya? Secara perancangan strategik, konsep ini antara yang paling sesuai, tetapi perlaksanaannya (operation dan tactical) perlu rapi dan harus dilaksanakan oleh mereka yang tidak mempunyai kepentingan dalam politik. Maksudnya di sini dilakukan dengan profesional dan tidak mengharap kontrak jutaan ringgit semata-mata. Agensi propaganda dari luar negara adalah satu pilihan, cuma kepakaran dari sudut memahami budaya dan pemikiran rakyat Malaysia itu adalah satu kekurangan bagi agensi luar negara. Cara halus perlu diterapkan berdasarkan beberapa tiang (pillar) bagi mendokong objektif yang sebenar dan secara tidak langsung rakyat akan mula jatuh hati kembali kepada pimpinan negara.

Untuk perkhidmatan pyschological warfare mahupun yang berkaitan dengan perception management, boleh hubungi kami di matasura@yahoo.com untuk perbincangan lanjut.

Matasura

Wednesday, December 4, 2013

Negara Maju dan Tahap Kesihatan Mental

Kini kita sudah hampiri penghujung 2013 dan dikejutkan dengan berita jenayah yang tidak masuk akal. Baru-baru ini kecoh satu Malaysia tentang kehilangan tiga adik beradik dimana mangsa dirogol dan dibunuh. Umur mereka yang setahun jagung ini membuatkan kita semua terfikir mengapa masih ada manusia yang sangat rakus dan kejam yang sanggup bertindak sedemikian. Mengapa semua ini berlaku? Dan mengapakah jenayah sebegini semakin menjadi-jadi?

Ada yang berpendapat kes jenayah sebegini meningkat sejajar dengan kemajuan sebuah negara. Fakta sebegini agak pelik. Sebuah graf yang menunjukkan peningkatan tahap ekonomi yang pesat, tetapi pada masa yang sama graf kekerapan jenayah juga meningkat. Negara kita ini tinggal kurang dari enam tahun sebelum mencapai tahun 2020 menjadikan negara kita sebuah negara yang maju. 

Negara kita seharusnya bersedia sepenuhnya untuk menjadi sebuah negara yang maju. Sebuah negara maju akan dilayan seperti sebuah negara maju dan dari aspek ekonomi, tiada lagi pengurangan cukai serta insentif lain tidak lagi dapat dinikmati seperti sebuah negara yang membangun. Daya saing harus ditingkatkan setaraf negara maju, dan industri-industri perniagaan dalam Malaysia seharusnya dapat berdaya saing setaraf negara maju. Hal berkenaan dengan kehidupan sosial rakyat Malaysia juga perlu diambil kita. Ekonomi yang pesat akan membuatkan masyarakatnya juga bekerja keras dan berdaya saing. Dan harus diingatkan, kesihatan mental juga akan mula memberi kesan, dimana lebih ramai orang akan mula menghadapi tekanan mental, kemurungan dan sebagainya. Oleh itu sebagai sebuah negara yang mmpunyai wawasan untuk menjadi sebuah negara yang maju, kita bersama kerajaan Malaysia seharusnya meningkatkan pelaburan dalam aspek kerohanian dan pembangunan kesihatan mental manusia sejajar dengan perkembangan ekonomi pesat negara. Kita tidak mahu jadi seperti negara Barat yang sudah maju, tetapi pada masa yang sama tekanan mental dan kadar jenayah juga meningkat. Biarlah negara kita menjadi sebuah negara yang maju, dan pada masa yang sama juga mempunya tahap mental sihat yang tinggi juga.

Disiarkan di Harian Metro 12 Disember 2013

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, November 20, 2013

Villa Nabila dan Penjenamaan

Kali ini seluruh Malaysia dikejutkan dengan kehilangan seorang remaja di Johor apabila sekumpulan remaja sengaja ingin melawat Villa tersebut. Kebetulan cuti sekolah baru sahaja bermula dan pelbagai aktiviti sudah bermain dalam fikiran. Cuti yang panjang ini bererti pelbagai perkara dan aktiviti dapat dijalankan. 

Saya agak terkejut juga apabila mendapat tahu pada mulanya 27 orang telah hilang apabila masuk ke rumah banglo tersebut. Kemudian tersebar pula yang bahawa hanya seorang sahaja yang telah hilang. Info bergerak begitu pantas sekali dalam media sosial tanpa mengetahui asas kebenarannya. Dan yang terkini remaja lelaki yang hilang tersebut berada di rumah teman wanitanya.

Apa yang dapat kita rumuskan di sini? Kisah tentang kehilangan remaja lagi-lagi melibatkan aktiviti paranorma sangat mendapat perhatian orang ramai. Mendapat perhatian orang ramai ini bermaksud menjadi bualan, lagi-lagi di laman Facebook dan terus bercambahnya artikel serta blog yang berkongsikan tentang kisah-kisah tersebut. Malahan info sebegini juga mendapat perhatian media massa.

Kisah sensasi sebegini dapat dijadikan petunjuk kepada 'marketer' tentang bagaimana sesuatu teknik pemasaran itu dapat dijadikan 'viral' atau bualan orang ramai. Kebetulan sekarang saya juga sedang menulis disertasi berkenaan dengan komunikasi orang ramai dan kesan kepada penjenamaan. Secara asasnya, perkara yang aneh atau ajaib semestinya dapat menarik perhatian orang ramai. Dapat disimpulkan di sini, apa sahaja yang aneh atau ajaib atau mungkin diluar pemikiran manusia, pasti dapat menarik perhatian orang ramai. Dengan sedikit teknik pemasaran, sudah pasti dapat membantu menaikkan nama sebuah jenama. Namun begitu, harus diingatkan kesannya boleh dilihat dari dua aspek iaitu positif mahupun negatif.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pelajar Tahun Akhir Sarjana Pengurusan Perniagaan, UTM

Wednesday, September 11, 2013

Kepimpinan dan Parti Politik


Apabila diminta untuk menulis berkenaan dengan pimpinan UMNO, saya terkedu seketika. Jarang sekali 
saya menulis berkenaan dengan hal-hal melibatkan politik, kerana bagi saya, biarlah mereka yang lebih arif menulis berkenaan dengan hal-hal politik Tanah Air. 

Kepimpinan ini adalah suatu yang amat subjektif. Apa yang saya pelajari sekarang (semester akhir MBA dalam pengurusan strategik) di sebuah IPTA tempatan, kepimpinan sebuah organisasi ini amat berkait rapat dengan perancangan strategik oleh pengurusan tertingginya. Perancangan strategik ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Yang paling atas ialah pengurusan tertinggi (strategic) dimana mereka ini menentukan hala tuju sebuah organisasi. Bahagian kedua pula ialah taktikal (tactical) dimana mereka ini lebih fokus kepada kaedah implimentasi polisi dan hala tuju sebuah organisasi dan yang terakhir ialah operasi (operation) dimana operasi harian dilakukan bagi memastikan objektif dan hala tuju sebuah organisasi ini dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.

Setiap bahagian ini berkait rapat dengan kepimpinan. Setiap bahagian memerlukan seorang pemimpin yang dapat memastikan objektif dan hala tuju organisasi berada di atas landasan yang sepatutnya. Apabila menyebut berkenaan dengan parti politik, hal sebegini juga tidak terkecuali. Untuk UMNO mencapai objektif dan hala tuju partinya, seluruh kepimpinan serta ahlinya perlu jelas dengan apa yang telah dirancang dan ditetapkan oleh pengurusan tertinggi. Misi dan visi sebuah organisasi ini amat penting. Jika seorang pemimpin itu sendiri tidak jelas dengan visi dan misi ini, maka tidak mustahil ahli dibawah pimpinannya juga akan bergerak luar dari landasannya. Pemimpin terutama sekali di bahagian taktikal dan operasi yang tidak dapat menggarap sepenuh misi dan visi sebuah organisasi harus diberi pendedahan secukupnya agar mereka betul-betul faham. Atau pilihan lain ialah singkirkan mereka! Pilihan untuk singkirkan mereka digunakan agar virus yang dibawa oleh pemimpin tersebut dapat disekat kerana ingin mengelakkan dari ahli-ahli di bawah juga mempunyai cara fikir yang sama.

Tersiar dalam Harian Metro 12 September 2013

Muhammad bin Kamarulazizi



Wednesday, August 28, 2013

Merdekanya Kita


Kemerdekaan, sebuah erti yang cukup bermakna buat rakyat Malaysia. Sejarah mengajar kita bagaimana erti hidup sabar terutama sekali semasa zaman penjajahan. Perit jerih pejuang-pejuang kemerdekaan ini dinikmati oleh kita zaman sekarang.

Sudah 56 tahun berlalu, keamanan dan kebebasan yang dikecapi ini adalah nikmat yang patut disyukuri. Bagi saya erti sebuah kemerdekan itu ialah kebebasan. Kebebasan untuk menentukan hala tuju sendiri, atau wawasan sebuah negara yang ingin dikecapi.

Kemerdekaan ini menunjukkan yang kita sudah berjaya melepasi satu halangan dan cabaran dalam hidup. Kita dapat lihat masih banyak negara yang walaupun sudah merdeka, tetapi keamanan sudah dirobek oleh anasir-anasir dalaman yang menjadi virus kepada kestabilan sebuah negara. Begitu juga dari aspek seorang individu, merdekanya seorang individu itu apabila dirinya tahu hala tujunya. Namun sekiranya individu tersebut sudah tercemar minda dan hatinya, ini adalah tanda di mana dirinya masih dibelenggu "penjajah" walaupun secara tidak sedar. Malah ada yang selesa membiarkan diri dijajah sepenuhnya oleh pengaruh negatif ini.


Harapan kita agar kita menjaga keharmonian yang dikecapi negara kita, suatu nikmat yang amat berharga. Kita sendiri juga perlu kukuhkan jati diri, agar hala tuju kita sentiasa jelas dan sentiasa fahami tujuan asal hidup kita di bumi ini.

Diterbitkan dalam Harian Metro 29 Ogos 2013

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, July 24, 2013

Isu Menggugat Keharmonian Negara

Sudah masuk minggu kedua bulan Ramadan dan tiba-tiba kita dikejutkan dengan ancaman pengganas Sulu yang dikhabarkan ingin menyerang Sabah buat kali kedua. Maklumat ini yang masih samar-samar kesahihannya ini seharusnya diambil serius oleh pihak berkuasa terutama sekali Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan keselamatan negara berada dalam keadaan baik.

Namun begitu, saya pasti pihak KDN sudah mengambil langkah berjaga-jaga dan mempunyai maklumat-maklumat sejauh mana kesahihan informasi ini. Kita tidak mahu negara kita secara tiba-tiba diserang oleh pengganas luar kerana ini akan memberi pelbagai masalah dari pelbagai aspek. Isu politik yang sudah mula surut akan kembali panas dengan jari menuding antara satu sama lain mengatakan pihak itu ini terlibat dengan pengganas tersebut. Atau  lebih teruk apabila ada pihak yang mengecam pihak polis dan tentera negara kita.

Sempena bulan Ramadan ini, sebaiknya kita bersatu, sentiasa berfikiran positif elak dari berbalah. Berbalah ini akan memberi lebih banyak impak negatif yang akan merugikan semua orang.

Muhammad bin Kamarulazizi

Thursday, June 27, 2013

Jerebu Negara dan Jerebu Politik


Setiap tahun kita saksikan jerebu di negara kita dan tahun ini dikatakan jerebu semakin teruk dengan Indeks Pencemaran Jerebu (IPU) melebihi 600 dibeberapa lokasi di Selatan Tanah Air. Kebanyakan negeri membenarkan sekolah ditutup kerana bimbang dengan kesihatan pelajar dan murid. Sebuah kenyataan dari kementerian juga telah membenarkan untuk pentadbiran sekolah untuk umumkan cuti sendiri sekiranya melihat keadaan jerebu ini tidak surut.

Tidak kurang juga jerebu politik di negara kita. Biarpun sudah lebih sebulan tamatnya pilihanraya ini, masih lagi ada pihak yang berusaha untuk menarik simpati rakyat. Bagi saya, tidak salah jika ingin terus mendapatkan simpati atau sokongan rakyat, namu begitu keputusan menang atau kalah itu harus diterima seadanya. Pihak yang menang atau kalah perlu mula mengatur strategi baru untuk pilihanraya akan datang dan fikirkan bagaimana untuk menambatkan hati rakyat. Bukan lagi melalui perhimpunan lagi-lagi dalam keadaan jerebu sebegini. 

Apabila kita sebut tentang jerebu, hasilnya semua persepsi negatif itu timbul. Namun begitu jerebu ini menjadi suatu cara bagi pihak Kindness.my, sebuah organisasi sosial untuk menyebarkan kebaikan mereka. Beberapa sukarelawan Kindness.my sudah mula memberi topeng muka secara percuma kepada orang ramai di sekitar Gombak dan Petaling Jaya. Biarpun jerebu ini dilihat sebagai suatu yang negatif kerana ancamannya kepada kesihatan, tindakan Kindness.my ini sebenarnya menggunakan peluang ini untuk melakukan kebaikan. Contoh seperti ini harus kita contohi dari hanya tahu menuding kesalahan kepada orang lain.

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, June 12, 2013

Amal Jariah Menjelang Ramadhan



Bulan Ramadan sudah tinggal kurang dari sebulan dan sudah ramai yang mula ingat-mengingati terutama di laman sosial seperti Facebook. Bulan puasa ini sememangnya akan jadi tumpuan orang ramai untuk melakukan amal jariah. Kebanyakan rumah-rumah kebajikan dan badan bukan kerajaan akan menerima banyak sumbangan hasil dari keprihatinan orang ramai.

Melakukan amal jariah ini boleh dilakukan dengan banyak cara. Dari menyumbang ke tabung-tabung masjid, rumah kebajikan, menaja berbuka puasa dan lain-lain. Saya yang bersama Kindness.my, juga mempunyai idea-idea kreatif untuk sebarkan kebaikan. Kindness.my ini adalah sebuah organisasi yang fokus melakukan kebaikan tidak kira tempat atau masa. Pada bulan puasa, warga Kindness.my ini akan agihkan duit raya yang diselitkan di merata tempat awam. Pada yang menjumpainya akan menerima sebuah nota mengatakan wang tersebut adalah duit raya untuk anda! 

Projek lain pula seperti projek kurma yang akan diagihkan kepada orang ramai secara percuma. Kindness.my ini ingin pupuk rasa ingin lakukan kebaikan, dan mengambil kesempatan pada bulan Ramadan ini untuk melakukan lebih banyak kebaikan. Mungkin pembaca blog yang berminat untuk melakukan kebaikan ini boleh rujuk di laman Facebook Kindness.my di https://www.facebook.com/Kindness.my

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, May 29, 2013

Isu Jenayah Semakin Menjadi-jadi


Isu jenayah semakin menjadi-jadi di negara kita. Kejadian demi kejadian berlaku seolah-olah manusia sudah hilang arah dan hala tuju. Namun apakah puncanya berlaku kegiatan jenayah ini? Taraf hidup semakin meningkat, ramai yang hidup tertekan dan mempunyai tahap stress yang tinggi. Hidup di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur ini sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Pendapatan sekeluarga RM3000 juga dikira sebagai miskin bandar dan pasti akan bersusah payah untuk hidup dengan selesa.

Apabila manusia hilang sabar, hilang kewarasan, maka berlakukah jenayah yang akan merugikan ramai pihak. Penjenayah yang ditangkap pasti akan berakhir di penjara, atau sekurang-kurangnya didenda oleh pihak mahkamah. Pada yang menjadi mangsa akan memberi kesan kepada keluarga terdekat. Kecederaan fizikal mahupun mental akan kekal lama dan ini mengakibatkan tekanan mental yang juga akan beri kesan kepada mereka yang terdekat.

Kegiatan jenayah perlu dibendung dan fahaman politik harus diketepikan. Jenayah yang meningkat akan merugikan masyarakat dan negara. Kerajaan memainkan peranan penting untuk membendung kegiatan jenayah, malah kita sebagai masyarakat juga harus bersama membantu. Mana-mana kegiatan jenayah tidak sepatutnya disorokkan, malah sentiasa ada jalan untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ayuh kita sama-sama kekalkan keamanan dan kemakmuran negara kita yang selama ini kita kecapi dan nikmati!

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, May 15, 2013

Apa Pula Selepas PRU13?


Masih di media sosial, ramai lagi yang masih bergelumang dengan perihal politik yang seperti tiada penghujungnya. Keputusan PRU13 sudah diputuskan dan setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Baik dari pihak yang menang atau kalah. PRU yang berikutnya akan berlangsung lagi lima tahun. Yang sudah lepas itu, biarlah ia berlalu.

Secara umumnya, seluruh rakyat Malaysia mempunyai keinginan yang sama. Melihat negara yang lebih gemilang dan yang paling penting sekali adalah perpaduan. Saya akui dalam banyak-banyak negara yang pernah saya lawati, Malaysia lah negara yang saya rasakan paling selamat. Ya, sudah pasti ada yang akan mengatakan jenayah tetap berlaku di Malaysia, tetapi tidak sekerap dan seteruk di luar negara. Kita masih boleh lagi minum di kedai mamak jam 12 tengah malam.

Selesainya PRU ini, sebaiknya kita terus rancang ke hadapan. Bagaimana kita ingin pastikan negara kita terus gemilang. Apakah yang dapat kita lakukan untuk negara kita? Bagi yang bekerja, akan terus bekerja seperti biasa. Apabila usaha kerja bagus, maka produksi akan tinggi dan ini akan memacukan penumbuhan ekonomi negara. 

Namun begitu, sekiranya orang ramai masih ingin fikirkan yang lepas, sudah pasti minda akan jadi seperti katak bawah tempurung. Apa yang dalam fikirannya hanyalah perkara yang lepas yang sememangnya agak sukar untuk diubah. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi kerja di pejabat dan mengakibatkan produksi menurun. Dan yang menarik sekali apabila apa yang ada di minda ini dikongsikan dalam laman sosial dan membuatkan orang lain juga terpengaruh sama. Bukankah ini adalah "marketing" ke arah perkara yang negatif?

Ayuh mara ke hadapan, kita rancangkan apa yang terbaik. Perkara yang lepas dijadikan pengajaran dan lakukan penambahbaikan. Dan sentiasalah ingat, setiap yang berlaku itu adalah hikmahnya. Sekiranya terkena kepada batang hidung sendiri, itu bererti Dia ambil perhatian kepada kita dan ingin kita berubah kepada yang lebih baik. Wallahualam.

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, May 8, 2013

Keputusan PRU13


Selesai sudah Pilihanraya Umum yang ke 13. Bagi saya, PRU13 kali ini agak mendebarkan lagi-lagi apabila keputusan keseluruhan diumumkan selepas jam 12 tengah malam. Keputusan PRU kali ini menunjukkan kemenangan bagi pihak Barisan Nasional sekali lagi yang akan memerintah selama 5 tahun. Apabila dilihat di laman sosial, terdapat pihak-pihak yang tertentu yang kurang berpuas hati dengan keputusan pilihanraya kali ini. Ketelusan pihak SPR dipertikai dengan beberapa kejadian yang masih dalam siasatan.

Namun begitu, apa yang telah berlaku itu pasti mempunyai hikmah. Baik menang atau kalah, semua pihak dapat mempelajari pengajarannya. Dari segi perancangan strategik, Barisan Nasional sememangnya telah menggunakan keseluruhan kelebihannya untuk memenangi pilihanraya ini. Bagi pihak Pakatan Rakyat, usaha dan idea lain harus diketengahkan untuk menambat hati rakyat. Biarlah yang berlaku sudah berlaku dan kini masanya untuk pandang ke hadapan. Barisan Nasional perlu memenuhi manifesto dan janji-janji mereka untuk tempoh lima tahun ini. Pakatan Rakyat pula sekiranya ingin mengambil alih pemerintahan, perlu gunakan pelbagai lagi kaedah lain. Apa yang penting itu ialah menambat hati rakyat.

Tinggalkan segala kebencian dan ayuh mara ke hadapan!

Seperti yang tersiar di Harian Metro 9 Mei 2013

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, May 1, 2013

Kempen Pilihanraya Terakhir Sebelum PRU13

Antara gambar yang tersebar di laman sosial media
Minggu ini adalah minggu terakhir untuk kempen pilihanraya. Secara umumnya, parti mana yang lebih menarik kempennya? Yang mungkin dapat menarik lebih banyak pengundu terutama yang berada di atas pagar? Sepanjang musim berkempen ini, kita dapat lihat dari pelbagai perspektif tentang cara parti-parti politik ini berkempen.

Bagi Barisan Nasional (BN) yang antara komponen utamanya ialah UMNO, MCA, MIC dan beberapa parti lain dapat dilihat secara fizikal di merata tempat terutama di sekitar KL. Jumlah bendera dan poster BN adalah jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan parti lain seperti PAS, PKR, DAP dan lain-lain. "Pengiklanan" secara berulang ini sedikit sebanyak akan melekat dalam fikiran para pengundi untuk membuat pilihan mereka menjelang 5 Mei 2013 nanti. Iklan kempen BN juga dapat didengar di radio dan ditonton di televisyen. Selain daripada itu, BN juga menggunakan kempen menggunakan sms
dan surat bagi memastikan pengundi mengundi calon BN.

Bagi pihak Pakatan Rakyat (PR), yang komponen parti utama mereka ialah PAS, PKR, DAP dan lain-lain pula lebih banyak menggunakan media sosial. PR menggunakan kekuatan mereka dari manifesto yang dikongsikan sekiranya mereka menakluk Putrajaya. PR juga menggunakan kekuatan ceramah mereka yang turut dihadiri oleh para ustaz yang popular di media sosial seperti Ustaz Azhar Idrus.

Secara umumnya, setiap parti politik ini mempunyai kelebihan sendiri apabila dilihat dari segi kempen. Cuma agak keterlaluan apabila penyokong sesebuah parti ini yang terlalu taksub sehingga menggunakan kaedah yang kotor lagi menjijikkan seperti yang melibatkan kegiatan tidak bermoral, melibatkan keluarga calon dan sebagainya. Perkara sebegini seharusnya dielakkan kerana kita harus sedar Malaysia ini penuh dengan budi pekerti yang sangat baik.

Walau apa pun kelak, keputusan di tangan rakyat. Kita nantikan 5 Mei 2013 nanti!

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, April 24, 2013

Kempen PRU 13



Pengumuman calon bagi setiap Parlimen dan DUN selesai dijalankan dari kini semua menanti bagi menghadapi pilihanraya yang bakal dilangsungkan pada 5 Mei 2013 ini. Bendera serta kain rentang dipacak dimerata tempat menunjukkan kesungguhan setiap parti berkempen bagi memenangi kerusi yang dipertandingkan setiap lima tahun ini.

Secara peribadi, saya lihat pilihanraya kali ini lebih meriah berbanding dengan pilihanraya sebelum ini. Pelbagai teknik digunakan untuk berkempen seperti penggunaan pelbagai bahasa dan tulisan, gambar-gambar calon serta papan tanda manifesto bagi menarik perhatian orang ramai. Jelas kelihatan masih lagi ramai yang berada di atas pagar dan tidak tahu parti atau calon mana yang perlu dipilih. Adakah diambil kira dari segi calon atau parti politik itu sendiri.

Kempen yang diadakan ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi persepsi orang ramai tentang pihak mana yang mereka akan pilih. Bagi mereka yang sibuk dan kurang mengikuti perkembangan semasa, sudah pasti akan tertarik dengan poster serta papan tanda yang menonjolkan kredibiliti sesebuah parti.

Namun dengan adanya lambakan bendera dan poster ini, saya agak tidak selesa dengan bendera dipasang yang mengganggu lalu lintas, seperti di lampu isyarat dan yang menghalang papan tanda jalan. Adakala agak sukar untuk melihat tanda pada lampu isyarat yang telah menyebabkan trafik meningkat. Perkara ini perlu dielak kerana akan membantut usaha parti yang ingin 'mempromosikan' parti mereka, disebaliknya menyebabkan orang marah atas kesilapan yang tidak disedari.

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, April 3, 2013

Parlimen Akhirnya Dibubarkan

Akhirnya parlimen sudah dibubarkan selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkannya hari ini pada jam 11.30 pagi. Kini tanggungjawab orang ramai untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi pilihanraya akan datang. Maka terjawab segala spekulasi tentang tarikh pembubaran ini selepas Negeri Sembilan secara langsung dibubarkan secara rasmi. Hari ini 3 April 2013, genaplah empat tahun pemerintahan selepas PRU yang ke 12.


Tuesday, March 26, 2013

Pembubaran Parlimen

Kecoh ura-ura tentang bila pembubaran parlimen akan berlaku. Ramalan demi ramalan sejak dari tahun lepas sehingga kini tidak pernah lekang lagi-lagi dalam laman sosial media seperti Facebook dan Twitter. Paling hampir, ialah kerajaan Negeri Sembilan bakal dibubarkan. Tarikh pembubaran parlimen ini amat sinonim dengan pengumuman tarikh pilihanraya umum yang ketiga belas.

Pembubaran parlimen dan pilihanraya ini adalah satu proses demokrasi di negara kita. Orang ramai sebaiknya meneruskan kehidupan seperti biasa dan hanya menyerahkan pengumuman ini kepada pihak yang bertanggungjawab. Ramalan serta khabar angin yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab akan merugikan kita sendiri. Biasanya tempoh untuk pilihanraya selepas pembubaran parlimen sudah cukup untuk kita merancang jadual kerja dan aktiviti seharian. Biarkan pihak yang bertanggungjawab umumkan, kita sebagai rakyat fokus kepada kerja dan keluarga, lebih baik daripada menyebarkan khabar angin yang tidak tahu mana pangkalnya.

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, March 13, 2013

Pertahankan Sabah!

gambar ihsan dari laman FB VAT 69 - Perjuangan Semalam

Situasi di Sabah kini berlanjutan hingga ke hari ini. Dan terkini salah seorang dari tentera kita terbunuh dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu. Menurut Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, sehingga kini sembilan anggota keselamatan terkorban dalam insiden pencerobohan itu manakala 57 penceroboh militan ditembak mati. 

Kita bersyukur kerana kita mempunyai angkatan polis dan tentera yang sentiasa bersedia mempertahankan negara kita. Biarpun keadaan politik di negara kita sedikit "tegang", lagi-lagi menjelang pilihanraya umum, para perajurit kita ini tidak lentur semangat mereka untuk berhadapan dengan pencerobohan dari tentera Sulu. Jangan ada sesiapa yang cuba memberi spekulasi atau pandangan sinis kepada pihak polis dan tentera kita. Semangat patriotik mereka demi mempertahankan negara tidak harus dipertikaikan. Pada peringkat awal pencerobohan pada bulan Februari lepas, ada segelintir masyarakat kita memberi pendapat masing-masing seolah-olah merekalah yang mengatur strategi di Lahad Datu Sabah. Berhadapan dengan musuh secara realiti itu berbeza dengan hanya pandai meletakkan komen-komen negatif di alam maya.

Sama-sama kita doakan agar pasukan keselamatan negara serta masyarakat di Sabah dilindungi dan berharap agar pencerobohan ini selesai dengan lebih cepat.

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, February 27, 2013

Artis dan Politik

Pilihanraya semakin hangat diperkatakan dan parti politik sudah mula mengeluarkan manifesto masing-masing bagi menarik undi. Apa yang menarik, setiap kali menjelang pilihanraya, artis juga tidak ketinggalan untuk menyuarakan sokongan mereka terhadap mana-mana parti politik yang mereka minati. Sokongan artis terhadap sesebuah parti politik sedikit sebanyak akan membantu mempengaruhi undian masyarakat umum menjelang pilihanraya kelak.

Melihat dari satu sudut, penglibatan artis dalam arena politik ini sebenarnya akan menimbulkan pelbagai persepsi daripada orang ramai lagi-lagi peminat mereka. Artis perlu faham dimana peminat mereka minat dengan bakat dan mungkin gaya yang ditonjolkan artis, dan bukannya kerana fahaman politik. Mungkin tidak salah, untuk seorang artis menunjukkan kecenderungan terhadap sesebuah parti politik tetapi impaknya akan memberi kesan kepada orang ramai. 

Kita lihat keadaan politik di Malaysia semakin serius. Mereka yang menyokong parti A, mempunyai pandangan yang berbeza terhadap parti B. Walaupun dengan pandangan berbeza, mereka tetap bersatu dalam beberapa perkara yang lain. Contohnya sama-sama meminati pasukan bola sepak Malaysia, sama-sama juga menyokong pasukan badminton negara di persada dunia. Tidak terlepas juga meminati artis yang sama!

Seorang peminat, sekiranya tiba-tiba mendapati artis yang diminatinya cenderung kepada sebuah parti politik yang tidak sependapat dengannya, sudah pasti perasaan mula membenci akan timbul. Seperti sepasang kekasih, pada mulanya amat saling menyayangi, tetapi apabila salah seorang itu curang, pergaduhan besar dan saling benci membenci akan timbul serta merta.

Secara peribadi, saya berpendapat sekiranya seorang artis itu mempunyai misi untuk meneruskan karier dalam politik, bolehlah teruskan. Namun bagi yang setia dalam industri hiburan, sebaiknya kekal "neutral" agar imej itu sentiasa terpelihara daripada asam garam politik.

Diterbitkan dalam Harian Metro 28 Februari 2013

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, February 13, 2013

Tahun Baru Cina dan Perpaduan

Baru-baru ini cuti panjang dan ramai berpeluang untuk pulang ke kampung halaman. Tahun Baru Cina ini merupakan antara salah satu perayaan yang mendapat dua hari cuti di negara kita. Setiap perayaan ini melambangkan perpaduan dan keharmonian. Kita beruntung di Malaysia, semua dapat merayakan perayaan masing-masing tanpa sebarang halangan.
Negara kita unik, kerana kita terdiri daripada pelbagai jenis kaum. Hidup harmoni antara satu sama lain. Tahun Baru Cina ini amat sinonim dengan limau mandarin dan angpow. Setiap tahun saya akan terima buah limau mandarin sebagai hadiah daripada rakan yang berbangsa cina. Ada juga yang memberikan hadiah hamper malahan angpow. Sememangnya dari segi perayaan ini dapat mengeratkan lagi keharmonian sesama masyarakat. Jika kita lihat Hari Raya Aidilfitri, masyarakat Islam mengadakan rumah terbuka dan rakan-rakan semua dijemput hadir tidak kira yang beragama Islam atau beragama lain.
Perpaduan ini penting bagi memastikan negara kita hidup dengan aman dan damai. Kita dapat melihat para pemimpin kita yang berusaha untuk memupuk perpaduan melalui perayaan. Bagi saya, ini adalah usaha yang tidak harus dipertikaikan, walaupun terdapat juga beberapa pihak yang tidak setuju dengan usaha para pemimpin kita semasa perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Kita harus sedar, perpaduan itu adalah antara aset penting bagi sebuah negara. Biarpun ramai dikalangan masyarakat kita mempunyai fahaman yang berbeza, perpaduan itu tidak harus dieksploitasi untuk kepentingan sendiri.

Diterbitkan dalam Harian Metro 14 Februari 2013

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, February 6, 2013

Lambakan Berita Politik yang Tenat

"Listening to negative people can make you dumb" ~Anonymous


Tinggal sebulan sahaja lagi sebelum Mac 2013, tarikh yang dikatakan bakal berlangsung pilihanraya umum yang ke 13 di Malaysia. Berita berkenaan dengan parti politik semakin hangat di media massa terutama sekali di kaca televisyen dan juga di laman media sosial. Apabila lambakan informasi mengenai perihal politik negara ini semakin bertambah, maka info-info yang tidak tahu punca kesahihannya juga timbul.
Setiap pagi sebelum memulakan kerja, saya akan buka laman Facebook untuk melihat apa perkembangan terkini. Saya tertarik dengan rakan-rakan yang gemar berkongsi tentang kata-kata hikmah, motivasi yang dapat membantu saya memulakan hari dengan lebih semangat dan ceria. Namun begitu, akhir-akhir ini lebih ramai suka berkongsi tentang perihal politik. Semua kisah berkenaan dengan politik ini lebih cenderung kepada kutuk-mengutuk, caci mencaci dan segala perkara yang negatif. Apa yang mengejutkan, mereka yang dari latar belakang agama juga seperti hilang pendirian, dengan perkataan-perkataan yang digunakan jelas tidak menggambarkan imej yang ditonjolkan oleh mereka.
Hal sebegini amat menyedihkan. Informasi beredar dengan pantas, segala yang tidak baik seperti caci mencaci ini juga beredar dengan pantas. Lebih ramai yang memberi komen, dan masing-masing ingin berhujah seperti tiada penghujungnya. Dan semakin hari semakin ramai yang terlibat dalam wabak "politik" ini. Keadaan sebegini terbawa-bawa ke rumah menyebabkan fikiran menjadi sempit dan memberi kesan kepada orang sekeliling.
Bagi saya, saya terpaksa sorokkan rakan-rakan di dalam laman Facebook yang terlalu banyak menceritakan hal-hal politik, lebih-lebih lagi yang ke arah negatif. Bukan kerana saya tidak mahu mengetahui perkembangan lanjut tetang politik Tanah Air, tetapi lebih baik saya fokus kepada sesuatu yang dapat motivasikan diri saya. Tumpu kepada yang lebih positif yang juga secara tidak langsung dapat memberi kesan yang lebih baik kepada orang sekeliling kita. Nanti masa pilihanraya kelak, barulah kita laksanakan tanggungjawab kita bersama.

Diterbitkan dalam Harian Metro 7 Februari 2013

Muhammad bin Kamarulazizi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...