Booking.com

Sunday, November 6, 2016

Membentuk Persepsi Masyarakat dan Institusi Agama



Saya berpeluang berjumpa dengan seorang ilmuan baru-baru ini di Seremban dan beliau berkongsikan jemputan yang diterimanya oleh kerajaan Pakistan  untuk membentang kertas kerja tentang cara membasmi kemiskinan dan menaikkan taraf ekonomi negara dengan lebih lestari (sustainable). 

Saya tidak mahu kongsi dengan lebih teliti isi yang dikongsikannya tetapi salah satu intipati yang membuat saya terkesan ialah cara membuat sesuatu perubahan (change management) itu memerlukan perubahan dari dalam dan bukannya dari luar.

Kata-kata ini membuatkan saya teringat kepada perbualan saya dengan rakan berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh Baitulmal dan juga JAKIM berkenaan dengan persepsi masyarakat terhadap institusi agama tersebut. Kita ambil contoh mudah, isu JAKIM baru-baru ini. Bermula dengan isu halal Pretzel, kemudian nama hotdog yang menjadi bahan jenaka netizen tidak kira latar belakang. Troll ini menjadi agak keterlaluan dan tanpa sedar memusnahkan nama baik institusi Islam sedikit demi sedikit. Tapi salah siapa? Dari pihak JAKIM mungkin beranggapan bahawa netizen tidak faham. Dari pihak netizen pula mengeluarkan hujah-hujah yang mereka rasakan betul. Dan tanpa sedar ada kuasa media yang lain seolah-olah menggunakan kesempatan ini untuk menghidupkan lagi api supaya isu ini terus berlarutan.

Apa kaitannya dengan change management dengan isu persepsi masyarakat terhadap instistusi agama ini? Sebenarnya sekian lama saya melihat institusi agama khususnya di Malaysia mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Mereka merupakan agensi kerajaan dengan keperluan yang sempurna dari segi dana, tenaga kerja dan juga infrastruktur. Kelebihan ini membuatkan institusi agama ini sepatutnya lebih gah dan maju ke hadapan dengan arus peredaran yang semakin pantas berubah.

Saya ambil dari perspektif persepsi, institusi agama perlu lebih proaktif dalam membina imej Islam di mata masyarakat Malaysia. Kita dapat lihat contoh dan usaha yang dilakukan oleh agensi Islam di luar negara yang terus menunjukkan imej Islam yang positif dan secara tidak langsung membuatkan lebih ramai ingin mengenali Islam dengan lebih dekat. Satu kajian di Universiti Cambridge mengapa orang ramai memilih Islam menyatakan salah satu sebab adalah kerana Islam itu sebuah agama yang memberi impak kepada diri sendiri dan juga keluarga. Hal ini juga menjelaskan mengapa beribu-ribu rakyat di UK dan di Amerika Syarikat memeluk Islam setiap tahun.

Salah satu kaedah yang dapat digunakan oleh institusi agama di Malaysia untuk membina imej Islam adalah melalui media sosial. Media sosial kini bertindak sebagai imej sebuah organisasi. Setiap isi kandungan (content) media sosial organisasi itu akan membentuk persepsi organisasi tersebut. Sebuah laporan bebas mengatakan 9 dari 10 syarikat yang berpengaruh sudah mempunyai pasukan sosial media yang dedikasi bagi menguruskan imej dan pemasaran organisasi mereka. Oleh itu institusi agama seperti JAKIM dan Baitulmal seharusnya meletakkan keutamaan terhadap media sosial ini sebagai salah satu platform dakwah halus supaya imej Islam dapat dibentuk sebaiknya.

Di sini saya kongsikan beberapa soalan utama yang menjadi tanda tanya setiap individu atau pihak yang terlibat dengan media sosial.

1- Bagaimanakah menggunakan media sosial dengan efektif? (Tactical)

2- Apakah cara yang terbaik untuk menguruskan komunikasi dengan respon orang ramai di media sosial? (Engagement)

3- Bagaimanakah cara untuk ukur keberkesanan perlaksanaan media sosial? (Measurement)

4- Bagaimanakah untuk mengenal pasti sasaran pelanggan di media sosial? (Audience)

5- Apakah strategi yang paling sesuai digunakan untuk media sosial? (Strategy)

Dengan memahami 5 soalan utama di atas ini dapatlah membentuk persepsi orang ramai terhadap sesebuah organisasi. Disokong pula dengan tools internet yang lain seperti search engine optimization (SEO), blog dan lain-lain. Apa yang kita ingin lihat ialah badan institusi agama ini terus perkasa, membina imej Islam dengan lebih efektif. Membuatkan orang ramai lebih cenderung untuk mengenal Islam (bagi bukan Islam) dan buatkan orang ramai engaged dengan lebih positif (bagi yang beragama Islam) di media sosial. Rasulullah SAW sendiri membina imej sebagai Al Amin sebelum Baginda menjadi seorang Rasul

Oleh yang demikian, walaupun banyak faktor luaran (external factor) yang mencemarkan nama baik Islam yang sukar untuk dibendung atau kawal, faktor dalaman (internal factor) yang boleh dikawal seharusnya diberi perhatian sepenuhnya dengan memaksimakan apa yang ada agar nama baik Islam dapat terus diungguli. Perubahan perlu dilakukan dari dalam organisasi. Perubahan perlu dilakukan sekarang, jika tidak kita akan ketinggalan. Lagi-lagi agensi yang membawa nama Islam tidak sepatutnya ketinggalan dalam dunia akhir zaman yang penuh dengan fitnah ini. Pengurusan persepsi perlu didalami kaedahnya supaya serangan secara halus untuk menjatuhkan Islam ini dapat ditangkis sedikit demi sedikit. Perubahan minda dan cara kerja agar matlamat yang jelas dapat dicapai.

Seperti firman Allah di Surah A Ra'd ayat 11:
"Sesunggunya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka"
Lakukanlah perubahan dan merancang berdasarkan matlamat yang jelas. Kita semua mahukan agar imej Islam menjadi sesuatu yang indah di Malaysia dan bukannya bahan jenaka lagi-lagi di media sosial. Usaha perlu dimulakan termasuk dari agensi kerajaan yang membawa nama Islam, juga organisasi-organisasi yang lain yang membawa imej yang sama. Jangan terlalu mengharap kepada netizen untuk bertindak. Jika sebuah organisasi Islam bertindak dengan baik, secara tidak langsung akan beri impak yang positif kepada netizen itu sendiri. Kita boleh menangkan minda dan hati (hearts and minds) netizen supaya cinta pada Islam itu mula tersemai. Persepsi boleh dibentuk, cuma kita perlu tahu caranya sahaja.

Muhammad bin Kamarulazizi
Konsultan Media Sosial
Matasura Services

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...