Booking.com

Wednesday, November 16, 2016

1 Cara Untuk Cetus Kreativiti Minda Secara Berterusan



Kreativiti adalah satu aset yang sangat berharga. Kreativiti digunakan dalam pelbagai cabang dari perniagaan, NGO, akademik, politik sehinggalah ke kesenian. Namun begitu bagaimanakah untuk jadikan minda kita sentiasa kreatif? Dari laman Inc.com ada kongsikan tips nya dan saya olahkan ikut kesesuaian latar belakang saya.

Caranya mudah sahaja, tetapi memerlukan disiplin yang tinggi. Setiap pagi senaraikan 5-10 idea kebaikan yang baru yang dapat dilakukan setiap hari. Mengapa perlu dilakukan begitu? Setiap hari kita akan mengadap laman media sosial yang memberi pelbagai input kepada minda kita. Jika di lihat pada wall kita, jenis rakan-rakan, jenis page yang kita follow secara tidak langsung akan membentuk cara kita berfikir. Jika banyak hiburan pada live feed Facebook, maka hiburan itu juga yang akan menjadi bahan bualan dan mendapat tempat dalam pemikiran kita. Jika terlalu banyak perihal politik, maka politik itulah yang akan mendapat tempat dalam fikiran kita.

Kita harus sedara yang manusia ini dicipta olehNya dengan akal yang sangat kreatif. Dan bila seseorang itu kreatif, banyak kelebihan yang akan dimanfaatkannya. Bagi yang berniaga akan dapat idea baru untuk tarik pelanggan baru. Bagi seorang guru, akan dapat idea baru untuk buatkan kelas pembelajaran lebih menarik. Bagi sebuah parti politik, akan dapat idea baru untuk lebarkan ideologi mereka kepada rang ramai.

Oleh itu bagaimana kita lakukannya? Ini antara contoh 10 kebaikan yang disenaraikan pada waktu pagi:

1. Beri kucing jalanan makan
2. Belikan nasi lemak untuk makcik cleaner
3. Senyum dan ucap salam pada pakcik security
4. Puji kawan handsome atau cantik
5. Tahankan pintu supaya orang lain boleh lalu
6. Letak duit kat masjid atau surau
7. Belikan tepung dan bihun dan letakkan di Projek Gerobok Rezeki dekat surau rumah
8. Transfer duit pada NGO kegemaran
9. Kongsi ilmu dengan kawan kat Whatsapp
10. Luang lebih masa dengan yang tersayang

Jenuh juga nak fikir sampai 10 kebaikan. Biasanya bila diangka 5 atau 6, idea sudah kering. Tapi kita tetap berfikir supaya idea baru itu datang. Bila setiap hari melakukan kaedah ini pada waktu itulah idea terhasil dari "thinking outside the box".

Apa manfaatnya apabila melakukan aktiviti ini?

1. Anda mula ada kebolehan untuk melihat sesuatu dari pelbagai perspektif.
Mengapa ini penting? Kebolehan ini menjadikan minda kita lebih aktif dan tidak hanya tertumpu pada satu perspektif. Cara berfikir kita akan lebih terbuka, lebih mudah untuk menerima idea malah teguran orang lain.

2. Fikiran akan jadi lebih tajam.
Apabila minda boleh lihat dari pelbagai perspektif, minda akan jadi lebih tajam. Setiap perkara yang berlaku itu tidak membuatkan kita terus beri reaksi terburu-buru, tetapi membantu kita untuk berfikir dengan lebih rasional. Kita akan mula faham dengan lebih baik punca, kesan dan akibat sesuatu yang berlaku. Itu sebabnya kita diajar, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

3. Kreativiti akan mula terpancar.
Setiap hari menulis idea baru tentang suatu kebaikan itu pada mulanya akan nampak mudah. Akan tiba masanya nanti kepala mula berkerut, idea jadi kering dan ketika inilah otak kita akan mula bekerja keras. Sel-sel otak akan mula berhubung bak kata iklan susu formula bayi. Idea akan datang secara tiba-tiba. Idea baru yang tidak pernah difikirkan. Keupayaan untuk menjadi kreatif ini sama dengan otot, perlu latihan yang banyak. Semakin banyak bersenam, semakin cantik otot, begitu jugalah dengan kreativiti.

4. Minda dan badan akan seiring.
Apabila minda sudah mula kreatif, tubuh badan juga akan turut sama. Semangat untuk melakukan sesuatu yang baru itu bukan sekadar angan-angan, tetapi dengan tindakan. Kita akan dapat rasakan tenaga baru yang seolah-olah bateri yang sudah fully charge. Minda kata ya, tubuh badan pun kata ya!

5. Gagal sekali tidak bererti gagal selamanya.
Menurut Elizabeth Gilbert, seorang penulis dari Amerika Syarikat mengatakan untuk jadi seorang yang kreatif, seseorang itu perlu jadi seorang yang pemaaf. Seorang yang boleh menerima seadanya. Atau perkataan yang lebih sesuai iaitu redha. Bila timbul idea yang baru, idea tersebut tidak semestinya idea yang terbaik. Mungkin akan ada kekurangan atau idea itu sendiri gagal. Tetapi ini tidak bermakna kita perlu putus asa. Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya. Bangun dan ambil sedikit masa untuk kembalikan semangat. Ini akan latih diri untuk rasakan tidak sempurna itu tidak mengapa, tetapi apa yang penting ialah kita sudah lakukan yang terbaik. Jika kita peroleh yang sempurna, itu adalah hasil yang dihadiahkan olehNya.

Ada banyak lagi kesan bila cara kita berfikir itu berubah. Cara kita uruskan sesuatu hal juga akan jadi lebih mudah. Bila berhadapan dengan konflik atau masalah, kita boleh uruskannya dengan lebih baik kerana kita boleh lihat dari pelbagai angle dan perspektif. Oleh itu ayuh asah minda kita supaya terus kreatif.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...