Setiap tahun kita saksikan jerebu di negara kita dan tahun ini dikatakan jerebu semakin teruk dengan Indeks Pencemaran Jerebu (IPU) melebihi 600 dibeberapa lokasi di Selatan Tanah Air. Kebanyakan negeri membenarkan sekolah ditutup kerana bimbang dengan kesihatan pelajar dan murid. Sebuah kenyataan dari kementerian juga telah membenarkan untuk pentadbiran sekolah untuk umumkan cuti sendiri sekiranya melihat keadaan jerebu ini tidak surut.
Tidak kurang juga jerebu politik di negara kita. Biarpun sudah lebih sebulan tamatnya pilihanraya ini, masih lagi ada pihak yang berusaha untuk menarik simpati rakyat. Bagi saya, tidak salah jika ingin terus mendapatkan simpati atau sokongan rakyat, namu begitu keputusan menang atau kalah itu harus diterima seadanya. Pihak yang menang atau kalah perlu mula mengatur strategi baru untuk pilihanraya akan datang dan fikirkan bagaimana untuk menambatkan hati rakyat. Bukan lagi melalui perhimpunan lagi-lagi dalam keadaan jerebu sebegini.
Apabila kita sebut tentang jerebu, hasilnya semua persepsi negatif itu timbul. Namun begitu jerebu ini menjadi suatu cara bagi pihak Kindness.my, sebuah organisasi sosial untuk menyebarkan kebaikan mereka. Beberapa sukarelawan Kindness.my sudah mula memberi topeng muka secara percuma kepada orang ramai di sekitar Gombak dan Petaling Jaya. Biarpun jerebu ini dilihat sebagai suatu yang negatif kerana ancamannya kepada kesihatan, tindakan Kindness.my ini sebenarnya menggunakan peluang ini untuk melakukan kebaikan. Contoh seperti ini harus kita contohi dari hanya tahu menuding kesalahan kepada orang lain.
Muhammad bin Kamarulazizi