Booking.com

Wednesday, February 27, 2013

Artis dan Politik

Pilihanraya semakin hangat diperkatakan dan parti politik sudah mula mengeluarkan manifesto masing-masing bagi menarik undi. Apa yang menarik, setiap kali menjelang pilihanraya, artis juga tidak ketinggalan untuk menyuarakan sokongan mereka terhadap mana-mana parti politik yang mereka minati. Sokongan artis terhadap sesebuah parti politik sedikit sebanyak akan membantu mempengaruhi undian masyarakat umum menjelang pilihanraya kelak.

Melihat dari satu sudut, penglibatan artis dalam arena politik ini sebenarnya akan menimbulkan pelbagai persepsi daripada orang ramai lagi-lagi peminat mereka. Artis perlu faham dimana peminat mereka minat dengan bakat dan mungkin gaya yang ditonjolkan artis, dan bukannya kerana fahaman politik. Mungkin tidak salah, untuk seorang artis menunjukkan kecenderungan terhadap sesebuah parti politik tetapi impaknya akan memberi kesan kepada orang ramai. 

Kita lihat keadaan politik di Malaysia semakin serius. Mereka yang menyokong parti A, mempunyai pandangan yang berbeza terhadap parti B. Walaupun dengan pandangan berbeza, mereka tetap bersatu dalam beberapa perkara yang lain. Contohnya sama-sama meminati pasukan bola sepak Malaysia, sama-sama juga menyokong pasukan badminton negara di persada dunia. Tidak terlepas juga meminati artis yang sama!

Seorang peminat, sekiranya tiba-tiba mendapati artis yang diminatinya cenderung kepada sebuah parti politik yang tidak sependapat dengannya, sudah pasti perasaan mula membenci akan timbul. Seperti sepasang kekasih, pada mulanya amat saling menyayangi, tetapi apabila salah seorang itu curang, pergaduhan besar dan saling benci membenci akan timbul serta merta.

Secara peribadi, saya berpendapat sekiranya seorang artis itu mempunyai misi untuk meneruskan karier dalam politik, bolehlah teruskan. Namun bagi yang setia dalam industri hiburan, sebaiknya kekal "neutral" agar imej itu sentiasa terpelihara daripada asam garam politik.

Diterbitkan dalam Harian Metro 28 Februari 2013

Muhammad bin Kamarulazizi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...