Booking.com

Wednesday, February 6, 2013

Lambakan Berita Politik yang Tenat

"Listening to negative people can make you dumb" ~Anonymous


Tinggal sebulan sahaja lagi sebelum Mac 2013, tarikh yang dikatakan bakal berlangsung pilihanraya umum yang ke 13 di Malaysia. Berita berkenaan dengan parti politik semakin hangat di media massa terutama sekali di kaca televisyen dan juga di laman media sosial. Apabila lambakan informasi mengenai perihal politik negara ini semakin bertambah, maka info-info yang tidak tahu punca kesahihannya juga timbul.
Setiap pagi sebelum memulakan kerja, saya akan buka laman Facebook untuk melihat apa perkembangan terkini. Saya tertarik dengan rakan-rakan yang gemar berkongsi tentang kata-kata hikmah, motivasi yang dapat membantu saya memulakan hari dengan lebih semangat dan ceria. Namun begitu, akhir-akhir ini lebih ramai suka berkongsi tentang perihal politik. Semua kisah berkenaan dengan politik ini lebih cenderung kepada kutuk-mengutuk, caci mencaci dan segala perkara yang negatif. Apa yang mengejutkan, mereka yang dari latar belakang agama juga seperti hilang pendirian, dengan perkataan-perkataan yang digunakan jelas tidak menggambarkan imej yang ditonjolkan oleh mereka.
Hal sebegini amat menyedihkan. Informasi beredar dengan pantas, segala yang tidak baik seperti caci mencaci ini juga beredar dengan pantas. Lebih ramai yang memberi komen, dan masing-masing ingin berhujah seperti tiada penghujungnya. Dan semakin hari semakin ramai yang terlibat dalam wabak "politik" ini. Keadaan sebegini terbawa-bawa ke rumah menyebabkan fikiran menjadi sempit dan memberi kesan kepada orang sekeliling.
Bagi saya, saya terpaksa sorokkan rakan-rakan di dalam laman Facebook yang terlalu banyak menceritakan hal-hal politik, lebih-lebih lagi yang ke arah negatif. Bukan kerana saya tidak mahu mengetahui perkembangan lanjut tetang politik Tanah Air, tetapi lebih baik saya fokus kepada sesuatu yang dapat motivasikan diri saya. Tumpu kepada yang lebih positif yang juga secara tidak langsung dapat memberi kesan yang lebih baik kepada orang sekeliling kita. Nanti masa pilihanraya kelak, barulah kita laksanakan tanggungjawab kita bersama.

Diterbitkan dalam Harian Metro 7 Februari 2013

Muhammad bin Kamarulazizi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...