Booking.com

Tuesday, January 22, 2013

Calon Pilihanraya PRU13

Pilihanraya sudah semakin hampir. Bakal calon pun mungkin sudah dikenalpasti bagi setiap parti. Bila dilihat dari aspek calon, semua ingin raihkan undi, dan pelbagai cara dilakukan. Paling popular ialah dengan menabur janji-janji manis yang pasti membuatkan masyarakat menaruh seribu satu harapan. Baik dari mana-mana parti sekalipun, hal sebegini pasti berlaku.
Apa yang kita inginkan sebenarnya dari pilihanraya ini? Saya tertarik dengan kata seorang rakan, kita mahu calon pilihanraya yang berjaya ini menjadi wakil kepada rakyat, bukan wakil kepada kerajaan ke atas rakyat! Baik dari kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Calon akan sedaya upaya untuk meraih undi, jentera parti juga mula memainkan peranan bagi memastikan orang ramai menyokong parti yang mereka terajui. Tetapi apa yang kita lihat, selepas calon itu berjaya menjadi wakil rakyat, mereka bertukar 'profesyen' menjadi wakil kepada kerajaan. Suara mereka tidak lagi mewakili masyarakat yang telah mengundi mereka. Mereka lebih kepada membawa seruan parti seolah-olah meletakkan apa yang parti inginkan ke atas masyarakat.
Dahulunya dijanjikan dengan pelbagai harapan. Calon pilihanraya mendekati rakyat, mesra, biarpun cara mereka bersalam itu pun kita sudah boleh lihat seperti tidak ikhlas (salam pegang hujung jari sahaja dan mata melihat ke arah lain). Mereka yang menjadi wakil rakyat ini sepatutnya memperjuangkan apa yang rakyat inginkan. Dari bawah ke atas dan bukan implimentasi dari atas ke bawah. Wakil rakyat yang mesra dengan rakyat, jentera mereka juga prihatin kepada rakyat, pasti akan mendapat hati masyarakat. Wakil rakyat bukan VIP. rakyat adalah VIP. Wakil rakyat perlu bawa suara rakyat dan berusaha untuk kebaikan rakyat.
Mungkin bagi setiap calon pilihanraya ini, sebaiknya mereka dipilih dengan latar belakang biasa dengan kerja-kerja kebajikan dan amal. Agar mereka faham dengan keadaan sebenar masyarakat, lagi-lagi yang memerlukan.

Diterbitkan dalam Harian Metro 24 Januari 2013

Muhammad bin Kamarulazizi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...