"We think too much and feel too little. More than machinery, we need humanity. More than cleverness, we need kindness and gentleness..."~Charlie ChaplinAyat pertama dari Charlie Chaplin ini sentiasa mengingatkan saya berkenaan dengan isu-isu semasa yang berlaku di Malaysia. Kebanyakan dari kita terlalu cepat memberi reaksi dan respon yang lebih cenderung kepada diri sendiri. Isu kalimah Allah untuk diguna pakai oleh yang bukan beragama Islam ini telah menjadi isu berbangkit di Malaysia. Ramai yang memberi pendapat, lagi-lagi apabila adanya laman media sosial seperti Facebook, semua maklumat berlegar dengan pantas, perbincangan dan idea juga dapat disalurkan terus menerus. Positifnya, akan berlaku perbincangan intelektual, namun begitu berapa ramai yang boleh memberi pendapat secara 'matang'? Apabila respon yang diberikan itu dikait dengan emosi dan unsur-unsur yang lain, maka akan timbul respon serta jawapan yang berunsur negatif. Lebih banyak perkara luar akan dikaitkan bersama untuk mengukuhkan jawapan yang diberi.
Berbalik pada isu kalimah Allah ini, saya sebagai seorang Muslim, sebaiknya saya menerima apa yang diputuskan oleh Fatwa Kebangsaan yang mengatakan tentang isu kalimah Allah. Mufti seluruh Malaysia sudah sepakat dan telah sediakan hujah yang terbaik buat kita semua. Mungkin ada yang mempunyai pendapat lain serta hujah lain, tetapi saya teringat sebuah hadis yang dikongsikan oleh ustaz di sekolah dahulu.
"Jika seorang hakim memutuskan lalu berijtihad, kemudian ia benar, maka ia mendapat dua pahala. Dan jika ia memutuskan lalu berijtihad kemudian salah, maka ia mendapat satu pahala."~Hadith Riwayat Al-Bukharidan adab kita apabila berhadapan dengan isu sebegini
"Barangsiapa yang mencari ilmu untuk menandingi ulama atau mengalahkan orang-orang yang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan oleh Allah Taala ke dalam api neraka."~Riwayat TarmiziBagi seorang manusia biasa seperti saya, saya percaya sebaiknya saya ikut dengan apa yang difatwakan oleh mufti negara kita. Semoga kita sentiasa menjaga hati kita dan sentiasa berdoa agar hati kita tidak tergelincir dari landasanNya, amin.
Untuk penerangan yang lebih jelas mengenai isu kalimah Allah, boleh rujuk di sini.
Wallahu'alam.
Tersiar dalam Harian Metro 17 Januari 2013
Muhammad bin Kamarulazizi