Booking.com

Friday, August 5, 2016

8 Perkara yang Dapat Imarahkan Masjid

Gambar dipetik dari Google

Apabila kita menyebut masjid, perkara yang akan kita fikir ialah tempat melakukan ibadat, solat berjemaah dan mendengar ceramah. Tetapi sedarkah kita masjid juga dapat berperanan sebagai sebuah pusat komuniti kepada masyarakat. Menurut seorang pensyarah arkitek dari Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Spahic Omer mengatakan dalam bukunya masjid sebagai pusat komuniti telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Sesuai dengan peredaran zaman sekarang, masjid perlu diimarahkan menjadikannya sebuah pusat komuniti yang aktif yang dapat memupuk perpaduan di kalangan umat Islam itu sendiri. Sebuah masjid biasanya akan mempunyai kemudahan asas seperti ruang solat dalam dan tandas. Kemudahan ini sahaja sudah cukup untuk menjadikan masjid sebagai sebuah pusat komuniti yang penting. Di sini antara faktor serta cadangan yang dapat dilakukan untuk menghidupkan institusi masjid di negara kita.

1- Kelas Mengaji
Apa yang membuatkan orang ingin datang ke masjid ialah peranan masjid itu sendiri. Jika sebuah masjid mempunyai kelas mengaji atau pun Iqra sekali pun, ini pasti dapat menarik perhatian mereka yang ingin belajar mengaji, tidak kira di tahap asas mahu pun advance seperti tajwid dan taranum. Ada beberapa buah masjid malah surau yang menawarkan kelas mengaji kepada kariahnya dipelbagai peringkat umur.

2- Pusat Tusyen
Ramai anak-anak yang bersekolah akan mengambil kelas tusyen, tidak kira di pusat tusyen atau secara persendirian di rumah. Masjid merupakan sebuah tempat yang sangat sesuai untuk diadakan kelas tusyen. Kelas tusyen ini lebih kepada bimbingan serta ulangkaji apa yang telah dipelajari dan persediaan untuk kelas keesokan harinya. Kelebihannya lagi, selesai kelas tusyen, guru dan murid dapat terus solat berjemaah di masjid.


3- Pusat Hebahan Ilmu dan Maklumat

Seperti dua cadangan di atas melibatkan ilmu. Penggunaan media sosial dapat membantu pihak masjid menyampaikan maklumat serta ilmu kepada orang ramai dengan lebih meluas. Perkongsian tentang sejarah Nabi serta ilmu-ilmu lain seperti Muamalah dapat dikongsikan melalui media sosial. Facebook, Instagram, Twitter malahan Youtube boleh dijadikan medium untuk penyebaran maklumat serta dakwah kepada orang ramai. Komuniti Whatsapp juga bagus bagi mengeratkan lagi masyarakat kariah masjid tersebut.


4- Pusat gerakan NGO dan Program Komuniti

Masjid berperanan menyatu padukan umat. Masjid dapat dijadikan hub untuk NGO berkumpul dan berbincang bagi merancang aktiviti kemasyarakatan setempat. Pelbagai usaha telah dilakukan dengan kerjasama NGO dan pihak masjid seperti Pasar Percuma, Kursus Kahwin dan sebagainya. Program sebegini dapat menarik minat orang ramai untuk datang ke masjid.

5- Taman Permainan
Taman permainan dapat menggalakkan kanak-kanak untuk datang ke masjid. Lagi-lagi ibu bapa boleh bawa anak-anak mereka bermain di taman permainan dan boleh berjemaah bersama-sama ketika solat.

6- Perpustakaan Mini
Bagi masjid yang mempunyai ruang yang besar, perpustakaan juga dapat menggalakkan orang ramai untuk datang ke masjid. Cukup dengan meja dan kerusi, orang ramai yang bekerja sebagai freelance dapat datang ke perpustakaan ini untuk membuat kerja mereka dan pada masa yang sama solat on time. Para pelajar juga dapat menjadikan perpustakaan ini sebagai tempat untuk mengulangkaji. Jika dapat ditambahkan dengan komputer dan printer akan menjadikan perpustakaan ini lebih 'hidup'.

7- Gerai Berniaga
Ruang perniagaan seperti gerai makan, dobi, kedai alat tulis juga boleh disediakan dalam kawasan masjid. Ini dapat menjadikan pendapatan untuk masjid disamping menggalakkan orang ramai untuk datang ke masjid. Kedai dobi syiling juga sangat bermanfaat. Orang ramai tidak perlu menunggu kosong disebaliknya dapat mengaji quran atau berzikir lagi-lagi apabila berada di perkarangan masjid. Kedai alat tulis pula sangat kurang sejak akhir-akhir ini. Jika ada mesin fotostat, kelengkapan binding, servis gambar passport sudah mencukupi untuk keperluan masyarakat setempat. Kedai menjual buku serta peralatan agama juga digalakkan.

8. Perkhidmatan Wifi
Perkhidmatan wifi ini antara servis yang semakin popular. Sudah terdapat masjid yang mempunyai mempunyai wifi percuma. Ruang rehat di beranda masjid boleh dijadikan tempat untuk berehat sambil menggunakan internet sementara menunggu masuknya waktu solat.

Pelbagai lagi idea lain dapat dilakukan untuk membuatkan masjid tarikan orang ramai untuk hadir. Walau bagaimanapun, idea yang diberikan di atas akan melibatkan kos, dana dan memerlukan sumber tambahan kepada pihak masjid. Namun begitu, sudah pasti ada solusi untuk setiap cadangan dan cabaran. Kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Baitulmal dan juga NGO dapat memudahkan lagi misi untuk imarahkan masjid. Semoga masjid di negara kita bukan sahaja gah dari segi struktur binaannya, tetapi meriah dengan kehadiran orang ramai yang mengimarahkannya.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...